Johor mengesahkan kedudukan kelima dalam Kejohanan Hoki Wanita Piala Tun Razak selepas menundukkan Melaka 3-0 menerusi penentuan pukulan penalti setelah aksi penuh berkesudahan seri tanpa jaringan.

Kedudukan kelima memberi makna cukup besar buat Johor yang kini dalam persediaan untuk Sukan Malaysia (SUKMA) yang akan berlangsung di Perak, tahun depan.

Bertemu Melaka, aksi sengit disajikan, namun tiada kesudahan membabitkan kedua-dua pasukan sehingga permainan terpaksa diheret sehingga ke penentuan pukulan penalti.

Kehadiran penjaga gol kebangsaan, Farah Ayuni Yahya, menjadi penyelamat Johor apabila bijak menafikan empat percubaan pukulan penalti Melaka manakala Johor berjaya menyempurnakan tiga pukulan penalti menerusi Nurin Natasha Rohani, Noor Hayati Sirkam dan pemain kebangsaan, Hanis Nadiah Onn, sekaligus menggembirakan jurulatih, Lailin Abu Hassan.

"Johor mempunyai seramai 12 pemain yang akan membarisi skuad ke SUKMA tahun depan dan dibantu dengan kehadiran dua pemain kebangsaan (Nadiah dan Ayuni), kami berjaya meraih keserasian antara pemain.

"Kami tetap yakin sehingga penghujung perlawanan untuk meraih kemenangan dan menundukkan Melaka," kata Lailin.

Sementara itu, perebutan kedudukan ketujuh dan kelapan memihak kepada Terengganu menerusi jaringan tunggal Norul Ain Mutalib yang bijak menggunakan kesempatan menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-52 untuk menewaskan Perak 1-0.