Kuala Lumpur terpaksa berduka tewas 1-3 di tangan ATM dalam aksi penentuan tempat ketiga dan keempat Kejohanan Hoki Wanita Piala Tun Abdul Razak 2017, sebentar tadi.

Separuh akhir yang berlangsung hari ini menyaksikan Kuala Lumpur mempersiakan peluang keemasan ke final susulan kekalahan 3-2 di tangan Selangor.

Dan misi menebus kehampaan itu menjadi sesuatu yang sukar saat mereka bolos terlebih dahulu pada minit ke-17 menerusi jaringan Suzana Nasir.

Aksi seimbang berterusan, namun keadaan terus menjadi sulit buat Kuala Lumpur apabila ATM melebarkan pendahulan pada minit ke-41 hasil jaringan Surizan Awang Noh.

Harapan seketika hadir buat Kuala Lumpur untuk mencipta kebangkitan ketika merapatkan jurang empat minit kemudian menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan Norazlin Sumantri.

Namun sisa perjuangan Kuala Lumpur lenyap apabila ATM memutlakkan kemenangan dengan jaringan ketiga pada minit ke-58.

"Saya amat berbangga dengan pemain-pemain apabila berjaya mengikut perancangan yang telah ditetapkan untuk memberikan kemenangan buat kami," kata jurulatih ATM, Sarjan Mohamad Nur Hafidz Mohd Noor.