Sembilan penyerang menjadi taruhan jurulatih skuad hoki wanita negara, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah, dalam usaha untuk menyelesaikan ketumpulan jentera serangan menjelang aksi Piala Asia di Kakamigahara, Jepun.

Dhaarma tidak mahu terus berharap dengan nama-nama sama selepas mereka gagal menyempurnakan hasrat negara untuk menggunakan setiap peluang jaringan dalam beberapa siri kejohanan sebelum ini.

Dia menganggap ketumpulan jentera serangan sebagai pendorong utama kegagalan Malaysian Tigress bersaing dalam kejohanan utama dan perkara itu membuatkannya tidak mahu terus memberikan kedudukan selesa kepada nama-nama yang dipilih sebelum ini sambil menyifatkan pentas Piala Asia adalah penentu nasib mereka.

Sasaran Dhaarma adalah pentas separuh akhir, memberikan ruang buat pemain-pemain menyamai atau mengatasi pencapaian skuad negara dalam Piala Asia di Korea Selatan pada 1985.

“Setiap kali dapat peluang, kami tidak boleh menjaringkan gol. Kali ini, saya tahu kami membawa banyak penyerang, jadi jika ada pemain yang tidak dapat mempamerkan aksi terbaik, mungkin saya terpaksa gugurkan mereka,” katanya.

Sementara itu, kapten pasukan, Siti Nor Amarina Ruhani, menganggap Piala Asia 2017 adalah kejohanan pemanas badan untuk mereka tampil lebih berkesan apabila beraksi dalam saingan Sukan Asia Indonesia, tahun depan.

“Apa yang dapat kita lihat, sekarang jurulatih banyak memberikan tumpuan kepada barisan serangan. Saya sebagai pemain lama, akui barisan serangan perlu dipertingkatkan untuk ke satu tahap yang lain,” ujar Amarina.