Jurulatih pasukan hoki negara, Stephen Van Huizen, menganggap Sukan Komanwel di Gold Coast sebagai ujian terbaik buat anak buahnya bagi menghadapi Sukan Asia di Indonesia, dari 18 Ogos hingga 2 September tahun depan.

India satu-satunya pasukan yang dianggap kebal untuk skuad negara meraih podium utama dalam Sukan Asia yang turut menawarkan slot automatik ke Sukan Olimpik 2020 buat pasukan juara.

Bagaimanapun, Van Huizen tidak bimbang andai ujian bertemu pasukan itu hadir lebih awal dalam Sukan Komanwel di Gold Coast, April tahun depan, kerana ia dianggap sebagai persediaan terbaik untuk ujian lebih penting dalam Sukan Asia.

"Sebelum ini, kita tewas 6-2 kepada mereka dalam peringkat kumpulan Piala Asia sementara dalam perlawanan akhir, kita tewas 2-1.

"Jika kami menewaskan India dalam Sukan Komanwel, ia bagus tetapi kami berharap dapat menumpaskan pasukan itu dalam Sukan Asia. Ia kerana Sukan Asia (juara) boleh melayakkan diri ke Sukan Olimpik," katanya.

Dalam undian Sukan Komanwel, Malaysia diundi bersama pasukan di ranking keenam dunia, India, England dan Wales dalam Kumpulan B.

Pun begitu, dia tidak memandang mudah saingan di pentas Komanwel apabila menyasarkan kedudukan ketiga di Gold Coast nanti.

"Ia saingan sukar. Dalam kumpulan kami, ada dua negara Asia, Pakistan dan India, yang mana kami selalu berlawan dengan mereka.

"Pasukan lain (yang baik) sudah tentu Australia dan saya fikir New Zealand, Kanada dan Afrika Selatan juga agak jarang kami bertemu.

"Tidak boleh kata kumpulan mana yang mudah tetapi kami hanya perlu menyiapkan diri dan cuba menewaskan pasukan yang berada di atas kami," tambahnya.

Sejak kali pertama hoki diperkenalkan dalam Sukan Komanwel pada 1998, Australia membolot kesemua pingat emas.