UZBEKISTAN 5 FILIPINA 0
TAIWAN 6 NEPAL 1

Uzbekistan dan Taiwan memberi amaran awal mengenai kemampuan mereka selepas membaham lawan masing-masing dalam perlawanan pembukaan Kejohanan Hoki Dalam Dewan Antarabangsa Wanita Piala Tuanku Zara di Dewan Merdeka, Kuala Kangsar, hari ini.


Uzbekistan membelasah Filipina 5-0 manakala dalam perlawanan kedua, Taiwan membenam Nepal 6-1.

Ketua pasukan Uzbekistan, Kamilla Adizova, mencatat hatrik manakala Gulrukh Ramazonova dan Madinabonu Madrakhimova masing-masing menyumbang satu gol.

Namun, kemenangan tidak datang mudah buat Uzbekistan apabila Filipina berjaya memberi tentangan yang menyaksikan mereka hanya mendahului 1-0 dalam babak pertama melalui jaringan Kamilla pada minit ke-13.

Jaringan itu jelas menyuntik semangat Uzbekistan dalam babak kedua dan kubu Filipina dirobek empat kali, bermula dengan jaringan Kamilla (m-23) dan Gulrukh, beberapa saat kemudian.

Kamilla dan Madrakhimova kemudian menambah derita lawan -- yang bakal menjadi tuan rumah Sukan SEA dari 30 November hingga 11 Disember depan -- apabila merobek gawang lawan pada minit ke-33 dan 37.

Sementara itu, Taiwan pula bangkit daripada mengalami kejutan minit pertama untuk merakamkan kemenangan pertamanya.

Devik BK membuka jaringan buat Nepal selepas seminit perlawanan berlangsung tetapi kelebihan itu dipadam oleh Lin Ting Yun pada minit kedua.

Taiwan kemudian berada di depan apabila dihadiahkan penalti strok pada minit ke-15 yang disempurnakan oleh Ko Ting Yu sebelum menambah empat jaringan dalam babak kedua melalui Lee Mei Chin, Liu Li Yen, Yang Chia Yu dan jaringan padang oleh Tin Yu.