Perak menepati ramalan untuk mara ke perlawanan akhir hoki Piala Tun Abdul Razak 2017 apabila menundukkan Melaka menerusi penentuan pukulan penalti​ di Stadium Sultan Azlan Shah, Ipoh, hari ini.

Perak memiliki kelebihan berdasarkan barisan pemain bintang yang membarisi skuad negara seperti Haziq Samsul, Syed Syafiq Syed Chola dan Najib Abu Hassan.

Tuan rumah lebih banyak mendominasi permainan dengan mengasak ke kubu pertahanan Melaka, namun penyudah tumpul daripada Haziq dan Zulhamizan Awang Abas merencatkan usaha mereka.

Melaka cuba menggunakan peluang untuk mendahului menerusi pukulan sudut penalti, namun ketangkasan penjaga gol menafikan percubaan itu.

Walaupun kedua-dua pasukan kerap berbalas serangan, ia masih belum cukup sehingga memaksa permainan diheret ke penentuan pukulan penalti.

Tuah nyata memihak tuan rumah dengan Haziq menyumbat gol kemenangan selepas pukulan penalti keenam Melaka gagal disempurnakan untuk Perak mengesahkan tempat dalam aksi final, esok.

Dalam satu lagi aksi separuh akhir, Terengganu akan turun dengan misi mempertahankan kejuaraan selepas menyingkirkan Negeri Sembilan 2-1.

Meskipun dikejutkan dengan gol Dangerous Lee Mathew menerusi gerakan pukulan sudut penalti pada separuh masa pertama, namun bintang utama, Faizal Saari, menjadi duri dalam daging dengan meledak dua gol dalam tempoh tiga minit untuk membawa pasukannya ke perlawanan akhir.