Kapten skuad hoki negara, Sukri Mutalib, merupakan antara lima pemain negara yang mengikat Jerman pada 2008, sekali gus membayangkan Malaysia mampu mengulangi prestasi itu dalam aksi terakhir Kumpulan D, Piala Dunia 2018 di Bhubaneswar, India, malam ini.

Kali terakhir Malaysia mencatat seri menentang Jerman ialah dalam Kejohanan Masters Hamburg, 10 tahun lalu.

Malaysia ketika itu turut dibarisi S. Kumar (penjaga gol), Muhammad Razie Abd Rahim (pertahanan), Nabil Fiqri Mohd Noor (pemain tengah) dan Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abd Jalil (penyerang).

Berdasarkan prestasi semasa, Malaysia berdepan tugas sukar mengulangi keputusan sama.

Namun, secara realistik, pemain negara mampu melakukannya.

"Ia cerita berbeza berbanding 10 tahun dulu.

"Hoki kini telah banyak berubah.

"Keadaan terkini memerlukan lebih tenaga dalam permainan.

"Saya pasti keadaan pasti berbeza kali ini," katanya

Skuad negara menjalani sesi latihan terakhir dalam keadaan tidak tertekan.

Malaysia sekurang-kurangnya memerlukan keputusan seri sambil berharap Belanda menewaskan Pakistan untuk mara ke pusingan kedua.