Muhammad Umar Bhutta bersimpati dengan nasib Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) yang pernah diwakilinya, namun penyerang berbisa Pakistan itu terpaksa mengetepikan perasaan terbabit apabila berentap dengan Malaysia dalam aksi kedua Kumpulan D, Kejohanan Hoki Piala Dunia 2018, esok.

Umar pernah mewakili KLHC selama empat musim.

Kali terakhir penyerang berkenaan menyarung jersi kelab gergasi Liga Hoki Malaysia (LHM) itu adalah pada 2016 sebelum pihak pengurusan KLHC mengambil keputusan menarik diri daripada kancah LHM musim depan.

Penyerang berusia 26 tahun itu bersimpati, namun perasaan itu terpaksa diketepikan ketika berdepan Malaysia dengan tiket ke pusingan kedua menjadi pertaruhan.

"KLHC merupakan sebuah pasukan yang digeruni dan sentiasa menjadi pencabar utama kejuaraan.

"Malangnya saya dengar kelab berkenaan sudah ditutup tetapi perlawanan di antara Pakistan dan Malaysia esok adalah berbeza.

"Kami sudah bertemu banyak kali tahun ini.

"Pertemuan esok bergantung kepada pasukan manakah yang lebih bernasib baik," katanya.

Selain Umar, tiga lagi pemain Pakistan pernah menyertai LHM, secara tidak langsung menambah maklumat mengenai kelemahan Malaysia.

Malaysian Tigers juga memiliki kelebihan sama berikutan pengendali negara, Roelant Oltmans, pernah membimbing Pakistan selama sembilan bulan sebelum datang ke Kuala Lumpur.

Untuk rekod, Pakistan memegang rekod pasukan paling berjaya dalam Piala Dunia dengan empat kejuaraan.

"Kami saling mengetahui keupayaan masing-masing.

"Satu-satunya perkara yang akan menjadi pemisah pada hari perlawanan nanti adalah pasukan manakah yang lebih bernasib baik dan beraksi lebih baik.

"Sekiranya percaturan berjalan lancar, maka pasukan itulah yang akan menang," tambahnya.