Penyerang skuad hoki negara, Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil, tidak menghiraukan rekod pertemuan yang memihak Pakistan kerana aksi kedua Kumpulan D Piala Dunia 2018 malam ini merupakan sesuatu yang cukup berbeza.

Pemain berusia 32 tahun itu menganggap rekod pertemuan yang berpihak kepada Pakistan sekadar angka dan apa yang penting, aksi 60 minit di Stadium Kalinga akan menentukan pasukan mana berpeluang cerah ke pusingan kedua.

"Apabila berdepan Pakistan, memang agak sukar tetapi seperti apa yang saya katakan sebelum ini, Malaysia masih berpeluang dan kami letakkan diri dalam pemikiran positif," katanya.

Sementara itu, pemain yang memusnahkan impian Malaysia dalam aksi final Sukan Asia 2010 dan kini bertugas selaku pengendali Pakistan, Rehan Butt, akan memastikan anak buahnya sekali lagi mengulangi sejarah sama.

Rehan menjaringkan satu gol ketika Pakistan menewaskan Malaysia 2-0 di pentas final Sukan Asia 2010 untuk layak secara automatik ke Sukan Olimpik London 2012.

Kali ini, dia membawa anak buahnya dengan misi memburu tiket ke pusingan kedua Piala Dunia.

Bekas penyerang berbisa itu mengambil-alih pasukan sejak Roelant Oltmans meninggalkan juara dunia empat kali itu, September lalu.

"Ketika ini, golongan muda Pakistan tidak lagi bermain hoki. Jadi, kami kekurangan sistem pembangunan akar umbi dalam sukan ini. Jika kami dapat beraksi cemerlang dan layak ke pusingan seterusnya, ia dapat menarik perhatian mereka," ujar Rehan.

Sebelum ini, dia pernah bertindak selaku penolong Oltmans selama lapan bulan, sekali gus pengendali berusia 38 tahun itu tahu mengenai kecenderungan Oltmans yang mengamalkan corak bertahan.

"Oltmans sering cuba meletakkan fokus utama di bahagian pertahanan, jadi ia satu perkara positif buat saya. Pakistan akan bermain corak menyerang," tambah Rehan.