Hoki Piala Dunia: Sukri optimis peluang ke pusingan kedua

Oleh Staff Writer 2 Disember 2018 282
Hoki Piala Dunia: Sukri optimis peluang ke pusingan kedua
Kapten skuad hoki lelaki negara, Sukri Mutalib, yakin peluang ke pusingan kedua Piala Dunia 2018 masih realistik walaupun Malaysia ditimpa kekalahan terbesar kejohanan setakat ini selepas tumbang 0-7 di tangan Belanda dalam aksi pembukaan semalam.

Pasukan kendalian Roelant Oltmans itu turun selaku bukan pilihan, namun dikejutkan dengan pesta gol lawan, termasuk catatan hatrik oleh pemain Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Jeroen Hertzberger.

Bagaimanapun, bagi Sukri, kekalahan itu tidak menandakan perjuangan skuad negara sudah terkubur tatkala mereka masih mampu menghidupkan peluang dalam baki aksi berdepan Pakistan dan Jerman.

"Di awal permainan, terutama suku kedua, kami melakukan kesilapan di bahagian tengah sehingga membenarkan lawan menjaringkan dua gol. Jadi, apabila ketinggalan 3-0, ia menjejaskan moral pemain," kata Sukri.

"Kami tewas di tangan pasukan yang lebih baik. Tahap mereka jauh lebih bagus. 

"Sebelum aksi bermula, kami sudah diingatkan bahawa Belanda bahaya dalam melakukan pergerakan 'give and go', di mana ia menghadirkan ancaman dari belakang dan pertahanan. Setiap pemain tengah dan penyerang Malaysia diingatkan agar sentiasa rapat dengan pemain lawan.

"Namun, kami masih yakin ke pusingan kedua. Aksi semalam perlu dianalisis dan cepat melakukan penambahbaikan."
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen