Kapten skuad hoki negara, Sukri Mutalib, belum berputus asa memburu tiket pusingan kedua yang menjadi sasaran Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) dalam Piala Dunia Bhubaneswar 2018.

The Malaysian Hockey Tigers terikat 1-1 dengan Pakistan dalam aksi kedua Kumpulan B, semalam.

Skuad kendalian Roelant Oltmans itu mempamerkan kebangkitan di Stadium Kalinga.

Mereka memaparkan aksi lebih meyakinkan berbanding ketika tewas 7-0 kepada Belanda yang turut menjadi punca Malaysia bergelut untuk ke pusingan kedua.

Skuad negara sekurang-kurangnya memerlukan keputusan seri menentang Jerman dalam aksi terakhir sambil berharap Pakistan tewas kepada Belanda, Ahad ini.

Peluang kelihatan sukar, namun Sukri belum mahu berputus asa.

"Kami mempunyai kemampuan yang setaraf dengan pasukan-pasukan lain.

"Kami sememangnya berhak untuk berada di pentas Piala Dunia.

"Saya sentiasa meletakkan keyakinan yang tinggi terhadap kemampuan pasukan.

"Kami mampu ke pusingan kedua sekiranya dapat mengekalkan disiplin di atas padang," katanya.

Sementara itu, Oltmans, menganggap anak buahnya telah mempamerkan aksi menakjubkan walaupun peluang mencapai sasaran ke pusingan kedua umpama telur di hujung tanduk.

"Kami berjaya mengejar kedudukan untuk meraih keputusan seri.

"Itu merupakan petanda baik memandangkan pemain-pemain telah bekerja keras untuk mendapatkan keputusan itu.

"Kami masih mempunyai baki satu perlawanan walaupun secara realistik, Jerman merupakan pasukan yang jauh lebih kuat.

"Kami akan mencuba untuk mendapatkan keputusan terbaik dalam perlawanan itu nanti," katanya.