Penyerang negara, Azrai Aizad Abu Kamal, lega apabila Persekutuan Hoki Asia (AHF) membenarkan pemain lebih usia 21 tahun untuk menyertai Piala Remaja Asia di Bangladesh, tahun depan.

Realitinya, dia tidak berpeluang mewakili negara hingga Piala Dunia Remaja jika berjaya memastikan Malaysia meraih kelompok tiga negara terbaik di Bangladesh kelak.

"Berita agak menyeronokkan memandangkan sudah lama kami melakukan persiapan.

"Kami sudah berlatih lama apatah lagi dalam situasi COVID-19 yang mendorong kami berlatih lebih kuat.

"Insya-Allah kami mampu muncul dalam kelompok tiga pasukan terbaik," katanya ketika ditemu bual wartawan Nadi Arena, Bazly Azmi, di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, hari ini.

Azrai antara lapan pemain remaja yang terpilih mewakili skuad senior negara.

Mereka bernasib baik apabila badan induk Asia itu melonggarkan peraturan had umur yang apabila pemain yang melebihi had umur 21 tahun akan dibenarkan beraksi di Bangladesh dengan tarikhnya akan ditentukan kelak selepas kejohanan edisi ke-12 itu ditunda ekoran penularan wabak COVID-19.

Misi layak ke Piala Dunia Remaja di India -- juga tahun depan -- menyaksikan tiga negara terbaik akan layak secara automatik tetapi dalam masa sama, mungkin bertembung dengan jadual Liga Hoki Malaysia (LHM).

"Saya akan pergi yang lebih penting.

"Ia satu tugas yang besar untuk membawa nama Malaysia ke Piala Dunia Remaja."