Hoki Piala Dunia: Razie puas walaupun tewas

Oleh Penulis Jemputan 10 Disember 2018 360
Hoki Piala Dunia: Razie puas walaupun tewas
Tonggak utama skuad hoki negara, Muhammad Razie Abd Rahim, membuktikan Malaysia masih memiliki pukulan sudut penalti tajam apabila semua gol negara dihasilkan menerusi gerakan itu walaupun tewas 3-5 kepada Jerman dalam aksi terakhir peringkat kumpulan Piala Dunia 2018.

Setelah hanya mencatat satu mata daripada dua perlawanan terdahulu berdepan Belanda dan Pakistan, skuad kendalian Roelant Oltmans itu berdepan cabaran sukar untuk meneruskan kemaraan ke peringkat seterusnya di Bhubaneswar apabila berdepan pasukan gergasi, Jerman, dalam perlawanan terakhir, semalam.

Seperti dijangka, Jerman tidak berdepan masalah untuk mengatasi Malaysia tetapi bagi Razie, apa yang penting adalah perkembangan yang dapat dilihat dalam pasukan, terutama jaringan yang dihasilkan adalah berpunca daripada senjata utama, iaitu pukulan sudut penalti.

"Jaringan yang saya lakukan itu berhasil daripada usaha semua pemain. Jadi, saya rasa apa yang dirancang akhirnya dapat diterjemahkan di atas padang," kata Razie.

"Kami sudah merangka selama tiga hari sebelum ini dan ia membolehkan kami menyumbat gol.

"Saya berpuas hati kerana kami diundi dalam kumpulan yang agak sukar. Tahap permainan kami telah membuka banyak mata."
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen