Pertahanan hoki negara, Muhammad Razie Abd Rahim, kecewa apabila gagal menyempurnakan pukulan sudut penalti yang dianggap menjadi punca Malaysia seri 1-1 ketika menentang Pakistan semalam, sekali gus berdepan laluan sukar untuk layak ke pusingan kedua Piala Dunia 2018.

Malaysia hanya menjaringkan satu gol daripada enam pukulan sudut penalti dalam aksi kedua Kumpulan D di Stadium Kalinga itu.

Jumlah itu bermakna keberkesanan pukulan sudut penalti negara cuma 17 peratus, statistik yang terlalu rendah berbanding reputasi Razie dan Faizal Saari.

Ia juga membuktikan Pakistan sudah mengkaji secara mendalam semua gerakan situasi bola mati Malaysia.

"Banyak terlepas ketika pukulan sudut penalti, jadi kami agak kecewa kerana gagal menyempurnakan deretan peluang. Kami akan menggunakan tempoh tiga hari untuk meningkatkan ketepatan," kata Razie.

Dalam aksi semalam, Pakistan menjaringkan gol pembukaan menerusi penyerang, Atiq Muhammad, pada minit ke-51.

Malaysia menyamakan kedudukan menerusi Faizal hasil tolakan kencang pukulan sudut penalti menewaskan Imran Butt empat minit kemudian.

Usaha memburu gol kemenangan tidak berhasil ekoran masa terlalu suntuk, sekali gus menyaksikan Malaysia kekal di tangga tercorot Kumpulan D.