Tatkala Pakistan menyandarkan harapan kepada penyerang, Muhammad Irfan, untuk merobek gawang Malaysia dalam pertemuan Kejohanan Hoki Piala Dunia 2018 esok, dua pakar sudut penalti Malaysia, Razie Rahim dan Faizal Saari, pula sedia menggunakan semua gerakan set piece bagi memastikan kemenangan The Malaysian Hockey Tigers.

Malaysia perlu menang di Bhubaneswar, India, demi mencerahkan peluang ke pusingan kedua.

Skuad kendalian Roelant Oltmans itu dalam situasi lebih tertekan berbanding Pakistan susulan tewas 0-7 di tangan Belanda dalam aksi pembukaan, sekali gus memaksa pemain negara menyerlahkan potensi sebenar esok.

Antara senjata utama ialah pukulan sudut penalti yang menjadi harapan negara untuk merobek pintu gol Pakistan yang dikawal Imran Butt.

Pemain yang akan melaksanakan tugas itu nanti ialah Razie dan Faizal.

"Setiap kali mendapat tugasan tertentu, kami perlu fokus dalam pelaksanaannya.

"Kami perlu mengenal pasti cara bertahan dan pergerakan penjaga gol lawan dalam setiap perlawanan.

"Kami perlu tahu kelemahan dan kekuatan pasukan lawan," kata Razie.

Faizal pula bersikap optimis dengan berkata: "Dalam pertemuan dengan Pakistan, kami ketinggalan 1-4 tetapi bangkit mengikat kedudukan 4-4 sebelum ditewaskan dalam penalti shoot out.

"Saya berasa lebih yakin kali ini. Ini pentas Piala Dunia, kami mahu menang. Jadi, kami perlu menggandakan usaha berbanding Pakistan."

Sesi latihan di Stadium Kalinga hari ini menyaksikan kedua-dua pemain tersebut fokus terhadap gerakan pemusnah yang masih belum menghasilkan sebarang gol dalam kempen kali ini.

Malaysia mendapat satu pukulan sudut penalti ketika menentang Belanda, namun gagal disempurnakan.

Sementara itu, Irfan memiliki rekod baik ketika menentang Malaysia.

Penyerang berusia 20 tahun itu menembusi pintu gol Malaysia di peringkat kumpulan dan separuh akhir Trofi juara-Juara Asia yang menjadikannya sebagai ancaman utama kubu negara.

Pergerakannya sukar dikawal kerana memiliki skil menggelecek yang tinggi selain larian pantas -- gabungan yang pasti menyukarkan tugas pertahanan negara.

"Saya ingin menyumbat gol ke atas Malaysia buat sekian kalinya dan akan memberikan aksi terbaik.

"Kami sudah mempunyai strategi. Lagipun, Oltmans pernah membimbing kami. Beliau cukup mengenali kemampuan saya," katanya.

Kemampuan Irfan menyaksikan dia berjaya mengetepikan seorang lagi penyerang lincah Pakistan, Muhammad Dilber, dalam perebutan slot ke Bhubaneswar.

Cuma, skuad negara boleh menarik nafas lega kerana Pakistan juga belum menjaringkan sebarang gol selepas tewas dalam aksi sulung mereka.

Rekod pertemuan Malaysia dan Pakistan dalam saingan Piala Dunia sejak 1975 menyaksikan kelebihan jelas memihak Pakistan dengan empat kemenangan daripada empat pertemuan dengan kemenangan terbesar dicatat dalam edisi 1998 yang menyaksikan Pakistan menang 7-2.