Hoki Piala Dunia: Rahsia Malaysia dalam saku Ammad Shakeel 

Oleh Penulis Jemputan 3 Disember 2018 1450
Hoki Piala Dunia: Rahsia Malaysia dalam saku Ammad Shakeel 
Ammad Shakeel Butt adalah antara empat pemain Pakistan yang pernah menyertai Liga Hoki Malaysia (LHM) dan  secara tidak langsung menambah keyakinan pasukan di ranking ke-13 dunia itu untuk menumbangkan Malaysia dalam perebutan tiket ke pusingan kedua Kejohanan Hoki Piala Dunia 2018 di Bhubaneswar, India, Rabu ini. 

Pakistan mendapat pujian selepas mempamerkan semangat juang tinggi ketika tewas 0-1 kepada Jerman dalam satu lagi aksi Kumpulan D.

Pakistan menang tiga kali ke atas Malaysia tahun ini dan faktor itu sudah tentu meningkatkan lagi keyakinan skuad kendalian Taoqeer Dar itu menjelang pertembungan Rabu ini.

Malah, Pakistan mengumpul banyak maklumat mengenai Malaysia, terutama selepas empat pemainnya pernah menyertai LHM. 

"Saya pernah beraksi dalam LHM selama beberapa tahun. 

"Saya tahu selok-belok pasukan Malaysia, justeru saya berharap kami dapat beraksi cemerlang berdepan Malaysia," kata Ammad Shakeel. 

Untuk rekod, Pakistan merupakan pasukan paling berjaya dalam Piala Dunia dengan empat kali meraih kejuaraan.

Kali terakhir mereka muncul juara ialah pada 1994 di Sydney, Australia.

Apa yang menarik, mereka pernah mendapat sentuhan Roelant Oltmans selama sembilan bulan sebelum pengendali itu menyertai Malaysia, September lalu.

"Kami sudah menundukkan Malaysia sebanyak dua kali tahun ini. 

"Insya-Allah kami mampu mencapai kemenangan dalam pertemuan ketiga ini. 

"Apapun, kami sedar Malaysian Tigers sebuah pasukan yang bagus juga, oleh itu kami sudah bersedia memberikan ujian getir kepada Malaysia," katanya. 
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen