Skuad hoki negara kian menyesuaikan diri dengan permukaan padang di Stadium Kalinga yang bakal memberi cabaran terhadap gerakan pukulan sudut penalti menjelang aksi pembukaan Kumpulan D, Kejohanan Hoki Piala Dunia 2018 menentang Belanda, Sabtu ini.

Skuad negara sedang menyesuaikan diri dengan keadaan gelanggang perlawanan sejak tiba di Bhubaneswar, India, pada awal pagi Isnin lalu.

Padang itu bakal menguji kemampuan pemain kerana permukaannnya yang lebih berat memerlukan tolakan bola yang lebih kuat daripada biasa.

Situasi itu akan memberi kesan kepada gerakan pukulan sudut penalti negara bagi Marhan Abdul Jalil untuk menghasilkan hantaran terbaik yang perlu disalurkan kepada tiga petugas utama negara, Razie Rahim, Faizal Saari dan Syed Syafiq Syed Cholan.

Hari ini menjadi hari ketiga Malaysian Hockey Tigers, tiga hari selepas tewas 0-1 dalam perlawanan ujian berdepan Perancis yang dilangsungkan dua suku masa sahaja.