Hoki Piala Dunia: Peluang Faizal perkukuh reputasi 

Oleh Staff Writer 5 Disember 2018 326
Hoki Piala Dunia: Peluang Faizal perkukuh reputasi 
Faizal Saari berazam untuk membuktikan bahawa dia layak dinobat dengan Anugerah Penyerang Terbaik Asia apabila turun menentang Pakistan dalam aksi kedua Kumpulan D, Kejohanan Piala Dunia 2018 dengan tiket pusingan kedua menjadi pertaruhan, malam ini. 

Ini masanya untuk Faizal membuktikan kemampuan bergelar penjaring terbanyak Piala Asia 2017 dan Trofi Juara-Juara Asia 2018.

Rekod itu sudah cukup menghadirkan gerun dalam kalangan pertahanan lawan, sehubungan itu penyerang kelahiran Kelantan itu berdepan tugas penting menentang Pakistan.

Faizal akan bertindak selaku penyerang utama selain pakar pukulan sudut penalti negara.

"Saya tidak menganggap status saya sebagai kelebihan, malah saya tetap perlu bekerja keras. 

"Saya harap rakan-rakan dapat memberi sumbangan 100 peratus. 

"Saya mungkin dikawal rapi, jadi saya berharap rakan-rakan yang lain boleh menggunakan peluang terhidang sebaik mungkin," katanya. 

Selain Faizal, jentera serangan negara turut dibarisi penyerang muda, Mohd Ramadan Rosli, Nor Syafiq Sumantri dan Nik Mohd Aiman Nik Rozemi, yang melengkapkan rangkaian penggempur negara yang lebih banyak didominasi penyerang senior.

"Kami tidak berasa rendah diri. Kami menganggap semua pasukan dan perlawanan hampir sama. 

"Setiap pasukan mempunyai kelebihan dan kami perlu bijak menggunakannya," kata Nik Mohd Aiman.
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen