Jurulatih skuad hoki negara, Roelant Oltmans, tidak berhasrat untuk menyimpan kuku menjelang pertemuan dengan pasukan di ranking kesembilan dunia, New Zealand, meskipun ia sekadar aksi pemanas badan bagi menghadapi misi utama, Kejohanan Hoki Piala Dunia 2018.

Malaysia bakal mengharungi tiga perlawanan persahabatan menentang New Zealand bermula esok sebagai persiapan menghadapi Piala Dunia di Bhubaneswar, India, hujung bulan ini.

Ia menjadi medan buat Oltmans menguji keberkesanan taktikalnya memandangkan New Zealand juga bersiap untuk menghadapi kejohanan yang sama.

Oltmans dijangka mengetengahkan barisan terbaiknya dalam perlawanan itu.

Ini bermakna Oltmans sedia mempertaruhkan penjaga gol, S. Kumar dan ketua pasukan, Razie Abd Rahim, meskipun kedua-dua pemain itu baru sahaja pulih daripada kecederaan.

"Tidak diragui lagi, salah satu perkara mustahak bagi seseorang pemain yang baru pulih daripada kecederaan adalah usaha untuk mengembalikan rentak terbaik.

"Satu-satu caranya untuk mendapatkan rentak sebenar mereka adalah dengan mengharungi perlawanan, sebab itulah mereka akan diturunkan.

"Kumar dan Razie ditimpa kecederaan sebelum ini, oleh itu aksi ujian dengan New Zealand amat penting untuk kami bersiap mengharungi kempen Piala Dunia," kata pengendali dari Belanda itu.

Dalam masa sama, Oltmans juga masih optimis dengan sandaran sedia ada dalam menjana pukulan sudut penalti.

Shahril Saabah digugurkan akibat kecederaan hamstring dan ia meninggalkan ruang buat pemain muda, Syed Syafiq Syed Cholan, sebagai pilihan ketiga di belakang peranan utama pukulan sudut penalti, Razie Abd Rahim dan Faizal Saari.

"Ketiga-tiga pemain berlatih pukulan sudut penalti tetapi sudah tentu buat masa ini sentuhan Razie dan Faizal lebih konsisten.

"Syed Syafiq boleh menjadi sandaran masa depan sekiranya dia mempamerkan ciri-ciri seperti itu dan terus meningkat. Ini termasuklah ketika diberi peluang dalam Piala Dunia nanti," ujarnya.