Penyerang skuad hoki negara, Faizal Saari, berhasrat menjadi senjata pemusnah dalam misi mengejutkan Belanda dalam aksi sulung Kumpulan D, Kejohanan Hoki Piala Dunia 2018 esok selepas meledak empat gol ketika aksi persahabatan menentang New Zealand, minggu lalu.

Faizal antara pemain negara yang berada di puncak prestasi ketika ini.

Kemampuannya menjaringkan gol menerusi gerakan padang dan pukulan sudut penalti menjadi senjata untuk merobek pintu gol lawan.

Penyerang berusia 27 tahun berkenaan akan menjadi tumpuan di Stadium Kalinga, Bhubaneswar, India, ketika Malaysia turun sebagai 'underdog' untuk berdepan pasukan di ranking keempat dunia itu.

"Kami perlu cari pukulan sudut penalti terlebih dahulu.

"Sama ada saya atau pun Razie Rahim yang akan mengambil pukulan itu, ia terpulang kepada jurulatih, Roelant Oltmans.

"Beliau ada memberikan sedikit maklumat dalaman yang berguna, ia nampak menjadi dan bagus untuk saya serta pasukan," kata Faizal.

Selain Faizal, Malaysia turut dibarisi penyerang berbisa seperti Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abd Jalil, Firhan Ashaari, Nik Aiman Nik Rozemi, Mohd Ramadan Rosli dan Norsyafiq Sumantri.