Ketua jurulatih skuad hoki negara, Roelant Oltmans, mengesan kelemahan yang perlu diperbaiki skuad negara menjelang Kejohanan Siri Hoki Final tahun depan selepas Malaysia gagal melepasi Kumpulan D, Kejohanan Hoki Piala Dunia 2018 di Bhubaneswar, India.

"Kami ketinggalan 0-3 dan pada awalnya, saya sudah terlintas mengenai senario yang sama (dibelasah Belanda).

"Mujur pada waktu yang sama, pemain bangkit dan faham apa yang perlu dilakukan di tahap seperti ini untuk dijadikan panduan dalam usaha meraih keputusan memberangsangkan pada masa akan datang.

"Saya berharap ia boleh membantu kami ketika ini tetapi sudah tentulah kehampaan masih bersarang di hati kami kerana kami berpeluang untuk mencatat seri di penghujung perlawanan," jelas Oltmans selepas perlawanan.

Tewas 3-5 kepada Jerman malam tadi bermakna Malaysia menamatkan cabaran di tangga tercorot Kumpulan D apabila dibezakan jumlah jaringan dengan Pakistan.

Di pentas Piala Dunia, kesungguhan tinggi sahaja tidak memadai untuk memenangi perlawanan.

Pemain perlu segera membuat keputusan kerana kesilapan kecil akan mengundang pintu gol negara dibolosi.

Skuad negara bangkit daripada ketinggalan 0-3 apabila pakar pukulan sudut penalti, Razie Rahim, meledak gol pada minit ke-26.

Pemain tengah, Nabil Fiqri Mohd Noor, merapatkan kedudukan pada minit ke-28.

Selepas rehat, Jerman kembali melebarkan kedudukan menerusi penyerang, Marco Miltkau (m-39).

Malaysia, yang dihadiahkan lapan pukulan sudut penalti, sekali lagi kembali bersaing menerusi Razie, tiga minit kemudian.

Namun, Jerman mengesahkan kemenangan hasil serangan balas pantas Timm Herzbruch, seminit sebelum siren penamat dibunyikan.

"Dalam saingan Piala Dunia, jika anda tidak bermain di tahap 100 peratus dengan tenaga yang anda miliki, maka anda akan terjerumus ke dalam bahaya kepada mana-mana pasukan.

"Hari ini (malam tadi), kami berdepan beberapa masalah dalam detik tertentu, sebab itulah saya tidak gembira sepenuhnya biarpun tiga kemenangan di peringkat kumpulan Piala Dunia merupakan pencapaian yang baik.

"Saya mempunyai falsafah dalam kejurulatihan, iaitu mengekalkan tahap tertinggi permainan.

"Kami akan berbincang mengenainya. Kami akan membuat persiapan rapi untuk aksi akan datang," kata jurulatih Jerman, Stefan Kermas.