Ketua pasukan hoki negara, Sukri Mutalib, tidak menghiraukan kritikan peminat di tanah air kerana yakin Malaysia mampu menumbangkan Pakistan, Rabu ini, untuk mara ke pusingan kedua Kejohanan Hoki Piala Dunia 2018 di Bhubaneswar, India.

Kemenangan ke atas Pakistan akan mengembalikan semula keyakinan peminat. Itu ujian sebenar pemain negara kerana hanya tiga pasukan terbaik akan melepasi peringkat kumpulan.

Sukri sedar kekalahan 0-7 kepada Belanda kelmarin mengundang kritikan dan pemain perlu bangkit segera untuk menghadapi pasukan di ranking ke-13 dunia tersebut.

"Dalam Sukan Komanwel Gold Coast, kami tewas 0-7 kepada England.

"Kami kembali berkumpul dan saling memberikan kata-kata semangat sehingga berjaya mencapai sasaran yang ditetapkan dengan menamatkan saingan di tempat kelima.

"Kata-kata semangat daripada jurulatih dan dalam kalangan rakan sepasukan sendiri boleh meningkatkan moral kami," kata Sukri.

Menurut ketua jurulatih negara, Roelant Oltmans: "Saya sedar sebelum ini kami tewas dengan jurang kecil, jadi anda boleh bayangkan bagaimana tahap keyakinan pemain negara.

"Namun, kami memiliki kepercayaan bahawa kami mampu menundukkan Pakistan, jadi kami akan berjuang."

Rekod pertemuan berpihak kepada Pakistan apabila tiga kali menewaskan Malaysia tahun ini, iaitu dalam Sukan Asia Indonesia dan Trofi Juara-Juara Asia.

Sementara itu, pakar pukulan sudut penalti Pakistan menganggap ini masa terbaik untuk menyingkirkan Malaysia dalam Piala Dunia.

"Kami mempunyai keyakinan.

"Kami pernah menewaskan Malaysia baru-baru ini dan saya berharap kami mampu mengulangi aksi sedemikian seperti mana ketika menempa kejayaan dalam Trofi Juara-Juara Asia yang lalu," kata pertahanan Pakistan, Muhammad Irfan.