BELANDA 7 MALAYSIA 0

Perbezaan ketara jelas dilihat di antara naib juara edisi 2014, Belanda, dan Malaysia dalam perlawanan pertama Kumpulan D saingan hoki Piala Dunia 2018 setelah skuad kebangsaan tewas 7-0 dalam aksi di Bhubaneswar, India, malam ini.


Turun selaku bukan pilihan, Malaysia yang dibimbing oleh Roelant Oltmans mengharapkan keputusan seri bagi meraih suntikan semangat sebelum bertemu Pakistan dalam perlawanan kedua, Rabu ini.

Bagaimanapun, kekebalan pintu gol Malaysia hanya bertahan selama 11 minit apabila bekas pemain Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Jeroen Hertzberger, menggunakan kesempatan di depan gawang untuk menewaskan penjaga gol, S. Kumar.

Peluang untuk skuad negara menyamakan kedudukan tiba pada minit terakhir suku pertama perlawanan menerusi pukulan sudut penalti tetapi Nabil Fikri Mohd Noor gagal menggunakan kesempatan di depan gawang susulan daripada percubaan Syed Mohd Syafiq Syed Cholan.

Empat pukulan sudut penalti berturut-turut yang diraih Belanda selepas dua minit suku kedua bermula ternyata tidak mampu untuk skuad kendalian Max Caldas itu menggandakan jaringan ekoran persembahan cemerlang yang dipamerkan Kumar.

Namun, belum sempat Malaysia menyusun gerakan, Belanda akhirnya menambah jaringan, kali ini menerusi pemain berusia 30 tahun dengan berketinggian 189 sentimeter, Billy Bakker, pada minit ke-21.

Permainan yang tidak kemas memudahkan Belanda untuk terus mengganas apabila Hertzberger menambah gol ketiga buat pasukannya lapan minit kemudian sebelum peluang menerusi pukulan sudut penalti disudahkan oleh Mink van der Weerden bagi menjadikan kedudukan 4-0 pada minit ke-35.

Pemain kelab SV Kampong dalam Liga Jerman, Robbert Kemperman, menambah derita anak buah Oltmans menerusi gol kelima perlawanan ketika aksi suku ketiga berbaki tiga minit.

Tatkala perlawanan memasuki minit ke-57 dan bakal menuju wisel penamat, Thierry Brinkman menjadikan kedudukan 6-0 sebelum Hertzberger melengkapkan hatrik menerusi gol ketujuh pada minit terakhir perlawanan.

Malaysia bakal meneruskan saingan di India menentang Pakistan, Rabu ini, sebelum melengkapkan aksi Kumpulan D bertemu Jerman pada 9 Disember ini.

"Sudah tentu ia bukan sesuatu yang anda mahukan apabila beraksi di pentas Piala Dunia, tewas dengan perbezaan tujuh gol. Saya harus akur bahawa pemain tidak beraksi dengan baik ketika berdepan Belanda dan sudah tentu ia memberi kesan secara mental kepada pasukan," ujar Oltmans.

"Seluruh pasukan sudah memberikan aksi terbaik. Kami terpaksa terima keputusan ini kerana bukan mudah berdepan Belanda. Kami sudah cuba tetapi keputusan menyebelahi lawan," tambah pemain negara, Firhan Ashaari.

"Pemain lawan dibarisi rata-rata bertubuh kecil tetapi kami dapat lihat pemain yang mempunyai teknik yang baik. Ini bukan bola keranjang atau bola tampar dan ketinggian tidak memberikan kelebihan dalam sukan hoki," kata Caldas.