Penjaga gol skuad hoki negara, S. Kumar, mengucapkan selamat tinggal kepada Piala Dunia selepas membuat penampilan terakhir dalam kejohanan itu ketika Malaysia tewas 3-5 di tangan Jerman kelmarin, sekali gus gagal melepasi cabaran Kumpulan D dalam aksi di Bhubaneswar, India.

Kelibat Kumar di pentas Piala Dunia selepas ini pasti akan dirindui selepas melalui dua edisi kejohanan, namun dia menegaskan akan tetap bersama skuad kebangsaan dalam usaha melayakkan diri ke saingan Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Antara pencapaian terbaik Kumar dalam karier yang dilaluinya adalah bergelar pemain terbaik Asia 2010 serta meraih pingat perak Sukan Asia 2018.

"Saya rasa dua edisi mengambil masa yang panjang untuk saya beraksi. Sebelum ini, saya beraksi dalam lima pusingan kelayakan tetapi tidak berpeluang, hanya layak beraksi bagi tahun 2014 dan 2018. Piala Dunia bukan satu saingan yang mudah untuk disertai," katanya.

Ditanya mengenai komitmen yang akan diberikan menjelang saingan kelayakan pusingan kedua tahun depan, Kumar berkata: "Bagi saya, setiap kejohanan adalah perkara penting. Selepas ini, kami akan berdepan fasa kelayakan pertama April depan sebelum melalui pusingan ketiga. Saya akan memberi fokus satu persatu."