Corak permainan bertahan menyukarkan tugas penyerang hoki negara, Faizal Saari, untuk menjaringkan gol ketika Malaysia tewas 0-7 di tangan Belanda dalam aksi pembukaan Kumpulan D, Piala Dunia 201, semalam.

Pengajaran berguna diraih oleh skuad kendalian Roelant Oltmans itu selepas tumbang dengan rekod kekalahan terbesar kejohanan setakat ini.

Tugas lebih sukar apabila Belanda selaku bekas juara dunia tiga kali bermain secara agresif hingga bola lebih banyak berlegar di kawasan Malaysia hingga menyukarkan tugas penyerang negara.

"Terlalu mudah untuk lawan menjaringkan gol dan semua orang tahu Belanda merupakan pasukan keempat dalam ranking dunia tetapi itu tidak boleh dijadikan alasan.

"Aksi pertama sudah tamat dan lihat nanti perlawanan seterusnya berdepan Pakistan. Kami harus menang," ujar Faizal.

"Anda boleh tewas 0-1 atau 0-2 tetapi ia bukan soal utama. Apa yang penting, kami harus menang dalam aksi seterusnya. Mata perlu didapatkan," kata Oltmans.

Sementara itu, penyerang Belanda, Jeroen Hertzberger, mencuri tumpuan apabila meledak hatrik pada minit ke-11, 29 dan 59.

Baki gol Belanda dijaringkan Mirco Pruijser, Van Der Weerden, Robert Kemperman dan Thierry Brinkman.

Kejayaan itu mengukuhkan reputasi Belanda yang diketuai oleh kapten, Billy Bakker, selaku pilihan utama Kumpulan D.

"Bukan sekadar penguasaan bola tetapi saya rasa kami juga mencipta gol menarik. Ia satu permulaan menarik tetapi kami perlu terus meningkat," kata Bakker.