Kejayaan pasukan bukan pilihan seperti Perancis dalam Piala Dunia 2018 meningkatkan keyakinan pengendali skuad hoki negara, Roelant Oltmans, bahawa Malaysia mampu mencipta kejutan ke atas Jerman dalam aksi terakhir Kumpulan D di Bhubaneswar, India, esok.

Perancis mencuri tumpuan apabila menumbangkan pemenang pingat emas Sukan Olimpik Rio 2016, Argentina, dalam aksi Kumpulan A.

Ia kejutan terbesar setakat ini dan membuktikan pasukan bukan pilihan mampu mencabar dalam saingan Piala Dunia 2018.

Prestasi itu menjadi azimat buat kem negara yang akan berdepan Jerman.

Jerman, sebelum ini memenangi kedua-dua perlawanan awal Kumpulan D ke atas Pakistan dan Belanda.

"Kami akan melakukan segala-galanya yang termampu untuk memberikan saingan.

"Perancis sudah memaparkan aksi luar biasa, namun itu tidak bermakna kami mampu melakukan kejutan yang sama.

"Apapun, kami akan melakukan yang terbaik untuk mendapatkan keputusan yang positif ketika menentang Jerman walaupun mereka antara pasukan terbaik dalam kejohanan ini," katanya.

Malaysia perlu sekurang-kurangnya mengikat seri Jerman sambil mengharapkan Pakistan tewas kepada Belanda.

Jika berjaya, Malaysia akan mencapai sasaran ke pusingan kedua.

Rekod pertemuan berpihak kepada Jerman, dengan pasukan di ranking keenam dunia itu membelasah Malaysia 6-0 dalam Kejohanan Separuh Akhir Liga Hoki Dunia 2013.

Ketika itu, lebih separuh daripada pemain negara ketika ini belum mewakili skuad kebangsaan.

"Kami telah memperoleh banyak maklumat daripada barisan kejurulatihan.

"Kami juga telah mengkaji corak permainan mereka dalam dua perlawanan sebelum ini," kata penyerang negara, Nik Aiman Nik Rozemi.