Hoki Piala Dunia: Hertzberger terkejut kerapuhan Malaysia

Oleh Staff Writer 2 Disember 2018 7331
Hoki Piala Dunia: Hertzberger terkejut kerapuhan Malaysia
Penyerang hoki Belanda, Jeroen Hertzberger, terkejut dengan kerapuhan pertahanan negara sehingga membolehkannya muncul pemain pertama mencatat hatrik ketika pasukannya menang 7-0 dalam aksi pembukaan Piala Dunia 2018, semalam.

Hertzberger meramalkan tentangan lebih sengit daripada Malaysia, namun serangan agresif Belanda mudah menembusi kubu lawan untuk meledak tujuh gol di Stadium Kalinga, Bhubaneswar, India.

Ternyata penyerang Universiti Kuala Lumpur (UniKL) itu menggunakan sepenuhnya pengalaman beraksi di pentas Liga Hoki Malaysia (LHM) untuk mengeksplotasi kelemahan pertahanan skuad kebangsaan.

"Saya rasa kami melakukan hantaran yang baik sehingga akhir permainan walaupun penjaga gol Malaysia beraksi dengan begitu bagus. Kami mula mengatur serangan terhadap mereka dan mengutip tujuh gol.

"Sesetengah pemain Malaysia sudah saya kenali dan saya sukakan cara mereka tetapi semalam saya beraksi untuk Belanda, jadi saya hanya cuba tampil terbaik," katanya.

Hertzberger meledak jaringan pada minit ke-11, 29 dan 59 sementara baki gol Belanda dijaringkan Mirco Pruijser, Van Der Weerden, Robert Kemperman dan Thierry Brinkman.

"Belanda adalah pilihan di sini. Kami agak bergelut dalam peringkat kumpulan dan perlu cuba fokus untuk perlawanan seterusnya. Aksi ini perlu dilupakan," ujar pemain negara, Fitri Saari.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen