Hoki Piala Dunia: Dua gol Razie tidak mampu selamatkan Malaysia

Oleh Staff Writer 9 Disember 2018 6326
Hoki Piala Dunia: Dua gol Razie tidak mampu selamatkan Malaysia
MALAYSIA 3 JERMAN 5

Pakar pukulan sudut penalti negara, Muhammad Razie Abd Rahim, meledak dengan dua gol, namun tidak cukup untuk menghalang kekalahan 3-5 Malaysia kepada Jerman dalam aksi terakhir Kumpulan D, Piala Dunia 2018 di Bhubaneswar, India, sebentar tadi.


Misi untuk sekurang-kurangnya mendapatkan keputusan seri tidak kesampaian di Stadium Kalinga.

Skuad kendalian Roelant Oltmans itu mempamerkan aksi menakjubkan menerusi corak menyerang, terutama dalam suku pertama dan kedua.

Bagaimanapun, Jerman mengekalkan ketenangan untuk mendahului perlawanan 3-0.

Gol tersebut terhasil menerusi sentuhan Timm Herzbruch dan penyerang berbisa Jerman, Christopher Ruhr, yang meledakkan dua jaringan.

Malaysia merapatkan kedudukan menerusi Razie pada minit ke-26.

Pemain tengah, Nabil Fiqri Mohd Noor, menjaringkan gol kedua, dua minit selepas itu.

Selepas rehat, Jerman kembali melebarkan kedudukan menerusi penyerang, Marco Miltkau.

Malaysia yang dihadiahkan lapan pukulan sudut penalti, sekali lagi merapatkan kedudukan menerusi Razie pada minit ke-42.

Namun, Jerman mengesahkan kemenangan hasil serangan balas pantas Herzbruch, seminit sebelum siren penamat dibunyikan.

Malaysia menamatkan aksi Kumpulan D dengan satu keputusan seri dan dua kekalahan.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen