Jurulatih skuad hoki lelaki Belanda, Max Caldas, menghormati pengendali negara, Roelant Oltmans, yang dianggap sebagai guru, namun ia tidak cukup untuk menghalang pasukan ranking keempat dunia itu memburu kemenangan aksi sulung Kumpulan D, Piala Dunia malam ini.

Caldas pernah mendapat tunjuk ajar Oltmans selaku bekas pengendali Belanda pada era 90-an setelah dia mencipta reputasi sendiri membantu skuad wanita Belanda menjuarai Piala Dunia 2014
sebelum dinaik taraf selaku pengendali pasukan lelaki.

Apa yang menarik, peminat mahu menyaksikan bagaimana kedua-dua pengendali itu merencanakan taktikal untuk memulakan cabaran dengan lagkah kanan di pentas Piala Dunia kali ini walaupun Malaysia dijangka lebih banyak mempertaruhkan aksi bertahan.

"Kami tahu Piala Dunia kali ini akan jadi yang paling sengit. Banyak pasukan yang bagus seperti Malaysia berbekalkan jurulatih yang baik. Kami harap dapat mengekalkan fokus," ujar Caldas.

"Semua pasukan yang berada di ranking bawah mahu mendapatkan keputusan positif, termasuk kami. Sudah pasti kami akan memberi tentangan sengit buat lawan," kata Oltmans.

Sementara itu, kapten skuad hoki negara, Sukri Mutalib, tidak menolak taktikal dua pelari pertama untuk menghalang pakar pukulan sudut penalti Belanda, Mink Van Der Weerden, bakal digunakan malam ini.

Berdepan juara dunia tiga kali itu, antara tugas paling sukar ialah untuk menghalang pakar pukulan sudut penalti Belanda, terutama menerusi Weerden, yang pernah muncul penjaring terbanyak Sukan Olimpik London 2012 dengan lapan gol.

"Saya berharap sewaktu perlawanan nanti, pemain Malaysia dapat mengawal situasi dan menahan asakan pukulan sudut penalti," ujar Sukri.