BELANDA 5 PAKISTAN 1

Skuad hoki Pakistan melangkah ke pusingan kedua Piala Dunia 2018 meskipun tewas 1-5 kepada Belanda dalam aksi terakhir Kumpulan D di Bhubaneswar, India, sebentar tadi.


Keputusan itu menyaksikan hasrat Malaysia -- yang mengharapkan Pakistan tewas dengan jurang 10 gol -- untuk mara ke pusingan kedua tidak kesampaian selepas tewas 3-5 kepada Jerman dalam aksi terdahulu.

Belanda berada di depan menerusi gol padang yang disumbangkan Thierry Brinkman pada minit ketujuh.

Pakistan tidak menunggu lama untuk mengejar kedudukan menerusi Ummar Bhutta, tiga minit selepas itu.

Menerusi satu serangan balas pantas, Velantin Verga kembali meletakkan Belanda di depan, tiga minit sebelum tamat suku pertama.

Hasrat Pakistan untuk bangkit dalam suku kedua dimusnahkan jaringan Bob De Voogd pada minit ke-37.

Dominasi Belanda berkekalan dalam separuh masa kedua.

Menerusi gerakan awal daripada pukulan sudut penalti, Jorrit Croon mudah menolak masuk jaringan keempat Belanda pada minit ke-47.

Mink van der Weerden memutlakkan kemenangan 5-1 Belanda pada minit terakhir perlawanan.

Walaupun tewas, Pakistan tetap layak ke pusingan kedua selepas muncul pasukan ketiga terbaik Kumpulan D hasil kelebihan beza jaringan berbanding Malaysia.