Tonggak pertahanan skuad hoki negara, Muhammad Razie Rahim dan Sukri Mutalib, percaya barisan negara tetap akan menampilkan aksi mantap dalam Piala Asia di Dhaka, Bangladesh, dari 11 hingga 22 Oktober ini walaupun skuad kebangsaan sudah mengesahkan tempat ke Piala Dunia 2018.

Bagi Razie, memandangkan skuad negara sudah pun layak ke Piala Dunia, mereka tiada tekanan untuk menjuarai kejohanan ini berbanding pasukan seperti Korea Selatan dan China yang mahu ke Piala Dunia.

Dia juga sedar barisan negara masih perlu memastikan aksi ampuh dalam saingan Piala Asia kali ini bagi memastikan ranking dunia tidak terjejas dan optimis skuad kebangsaan mampu ke pentas akhir.

"Moral sangat tinggi untuk beraksi dalam Piala Asia. Kami sudah layak ke Piala Dunia, jadi tiada sebarang tekanan. Cuma kami perlu melihat setiap perlawanan yang sepatutnya kami menang," kata Razie.

Sementara itu, nada sama turut disuarakan oleh Sukri sambil menyifatkan Malaysia mempunyai kelebihan kerana hampir kesemua 18 pemain dalam pasukan sudah biasa beraksi di Bangladesh selepas beraksi di sana ketika saingan pusingan kedua Liga Hoki Dunia, April lalu.

"Kami tahu serba-sedikit tentang keadaan di sana, seperti cuaca panas kering yang agak berbeza dengan Malaysia tetapi kebanyakan pemain-pemain sudah beraksi di sana, jadi tidak ada masalah," tambah Sukri.