MALAYSIA 7 OMAN 1

Malaysia meneruskan persembahan cemerlang dengan melakar kemenangan ketiga apabila mengatasi Oman 7-1 untuk menjuarai Kumpulan B, Piala Asia 2017 di Dhaka, sebentar tadi.


Malaysia kehilangan khidmat Fitri Saari yang terpaksa pulang ke tanah air selepas menerima perkhabaran mengenai anaknya, Muhammad Adam Zafran, yang berada di hospital kini di dalam keadaan kritikal.

Dengan sasaran utama skuad kendalian Stephen Van Huizen untuk mencipta sejarah menjuarai Piala Asia buat kali pertama, Malaysia memastikan mereka berada pada landasan yang tepat.

Penyerang negara, Faizal Saari, yang berada pada prestasi terbaik dalam kejohanan ini, membuka tirai jaringan buat Malaysia pada minit ke-16 menerusi pukulan sudut penalti (PC).

Malaysia terus garang mengasak kubu Oman untuk menggandakan jaringan dan kali ini hasil daripada percubaan Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil.

Ternyata Oman gagal mencari ramuan untuk menghalang asakan skuad negara selepas dua lagi gol berjaya dihasilkan daripada Shahril Saabah dan Tengku Ahmad Tajuddin.

Di sebalik aksi cemerlang Malaysia ketika menyerang, kelekaan barisan pertahanan dihukum apabila Salmeen Al-Nofali berjaya meraih satu jaringan buat Oman.

Bagaimanapun, The Malaysian Hockey Tigers tidak tergugat dengan jaringan tersebut apabila Faizal meledak gol keduanya -- sekaligus meletakkan dirinya sebagai penjaring terbanyak kejohanan -- untuk menjadikan kedudukan 5-1 sehingga tamat separuh masa pertama.

Dengan tiket ke pusingan Super 4 sudah berada dalam genggaman, Malaysia terus mempamerkan persembahan bertenaga dengan meledak dua gol hasil pukulan PC yang disempurnakan oleh Amirol Arshad dan Najmi Farizal Jazlan.

Keputusan 7-1 kekal hingga tamat perlawanan dan ia merupakan kemenangan ketiga berturut-turut skuad negara selepas menewaskan Korea Selatan (2-1) dan China (7-1).