Pasukan Pahang memasang impian memburu kejuaraan ketiga Kejohanan Hoki Kebangsaan Lelaki dan Perempuan Bawah 14 Tahun yang membuka tirai hari ini.

Sebanyak 15 pasukan lelaki dan 13 pasukan perempuan bakal mempertaruhkan aksi dalam Kejohanan B-14 kali ini.

Skuad B-14 Pahang muncul juara dua kali dalam tiga tahun terakhir, sekaligus memasang impian untuk mengekalkan kejuaraan tahun ini.

Jurulatihnya, Sufian Mohamad, menjangkakan aksi sengit, khususnya daripada pasukan Selangor, Sabah, Johor, Kuala Lumpur dan Perak.

"Setakat ini, belum timbul sebarang tekanan kerana kejohanan pun belum berlangsung lagi.

"Saya menjangkakan saingan sengit akan berlaku kerana faktor venue pertandingan yang diadakan di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil," katanya.

Kejohanan itu juga merupakan medan buat jurulatih mencungkil bakat baru untuk membawa cabaran ke saingan Sukan Olimpik Remaja 2018 di Argentina.

"Saingan B-14 merupakan permulaan bagi pemain-pemain untuk diketengahkan ke peringkat seterusnya. Malah, tonggak B-16 negara ketika ini juga hasil daripada program B-14.

"Ia satu pendekatan untuk kami menggilap bakat muda negara," ujar pengurus kejohanan, Brian Fernandes.