Kapten skuad hoki lelaki negara, Sukri Mutalib, menggesa semua peminat sukan tanah air agar menghentikan perbandingan di antara pasukan hoki kebangsaan dan skuad bola sepak Malaysia.

Tatkala The Malaysian Tigers terus mencipta kejayaan di pentas antarabangsa apabila muncul naib juara Piala Asia di Dhaka, Bangladesh selepas tewas 1-2 di tangan India dalam aksi final, skuad Harimau Malaya kendalian Nelo Vingada masih belum meraih sebarang kemenangan dalam aksi kelayakan Piala Asia.

Situasi itu membuatkan ramai peminat sukan tanah air mula membandingkan dua senario berbeza itu, namun bagi Sukri, perkara sebegitu tidak perlu dipersoal atau dicetuskan kerana ia tidak memberikan apa-apa manfaat kepada sesiapa.

“Saya tidak aktif di laman sosial, tetapi ada rakan-rakan yang menyampaikan perkara itu kepada saya dan ia menjadi buruk apabila orang ramai di luar bercakap buruk tentang skuad bola sepak negara.

“Bagi saya, jika anda menyokong kami, tidak perlu membandingkan kami dengan mereka kerana ia akan mencetuskan situasi yang tidak bagus. Jika anda benar-benar menyokong Harimau Malaya, teruskan sokongan anda tetapi saya tidak boleh menutup mulut mereka.

“Mungkin itu cara mereka untuk menilai tetapi saya sebagai pemain hoki, saya hanya boleh menilai tahap pasukan saya sendiri,” kata Sukri.

Dalam masa sama, dia juga memberikan pujian kepada rakan sepasukan, Fitri Saari, yang sanggup berpatah balik ke Dhaka selepas terpaksa pulang ke Malaysia kerana anaknya dimasukkan ke hospital.

Fitri bergegas pulang ke Malaysia disebabkan kesihatan anaknya yang memaksanya meninggalkan skuad negara, namun kembali menyertai pasukan kendalian Stephen Van Huizen sehingga ke aksi final.

“Fitri dan S. Kumar (penjaga gol) adalah contoh pemain yang bermain sepenuh hati untuk skuad kebangsaan dan sentiasa berjuang buat negara,” tambahnya.