Rentak cemerlang penyerang skuad hoki negara, Mohd Haziq Shamsul, terjejas apabila mengalami kecederaan paha yang mampu menutup peluangnya menyertai Trofi Juara-Juara Asia di Oman minggu depan menjelang pengumuman senarai akhir 18 pemain esok.

Misi kebangkitan semula yang diharapkan Haziq tampak terjejas apabila dia mengalami kecederaan paha ketika berlatih di Bukit Jalil, sekali gus mengganggu peluang untuknya ke Oman.

Haziq tidak menjalani sesi latihan penuh di bawah kendalian Roelant Oltmans, namun tetap berharap namanya terpilih menyertai skuad Trofi Juara-Juara Asia.

"Saya perlu terima hakikat kerana sekarang saya mengalami kecederaan paha. Ia telah kembali.

"Jika diberi peluang, belum tentu saya boleh memberikan komitmen 100 peratus akibat kecederaan. Kesakitan dapat dirasai," kata Haziq.

Beberapa pemain turut mengalami kecederaan seperti pakar pukulan sudut penalti, Muhammad Razie Abd Rahim, penjaga gol, S. Kumar, serta Mohd Hafizuddin Othman.

Apa yang menarik, Haziq baru kembali mewakili negara dalam Kejohanan Terbuka Jemputan Antarabangsa Darwin, dua minggu lalu, selepas diketepikan hampir setahun.

Penyerang kelahiran Sungkai, Perak itu membalas kepercayaan tersebut dengan meledak tiga gol untuk berkongsi status penjaring terbanyak skuad negara bersama Razie.