Hairi Abd Rahman sedia mengambil alih tugas benteng terakhir skuad hoki negara dalam saingan Trofi Juara-Juara Asia di Oman, bermula 18 Oktober ini apabila penjaga gol senior, S. Kumar, masih belum pulih daripada kecederaan tangan ketika berlatih di Bukit Jalil.

Hairi, yang berpeluang mengisi slot penjaga gol utama negara dalam dua kejohanan berturut-turut, beraksi cemerlang ketika Malaysia meraih tangga ketiga Kejohanan Terbuka Jemputan Antarabangsa Darwin, dua minggu lalu, tatkala Kumar direhatkan ekoran kecederaan retak tangan kanan.

Kumar sudah kembali menyertai sesi latihan skuad negara di Bukit Jalil, namun masih belum pulih sepenuhnya, sekali gus menyaksikan kedudukannya belum terjamin ke Oman.

"Selepas kejohanan yang lepas, saya cuba menampilkan yang terbaik dalam setiap sesi latihan dan perlawanan akan datang," kata Hairi.

"Jurulatih mahu saya cuba menjalani latihan dalam beberapa hari untuk melihat perkembangan kecederaan saya," kata Kumar.

Seorang lagi penjaga gol, Mohd Hafizuddin Othman, pula mengalami kecederaan hamstring.

Pengendali negara, Roelant Oltmans dijangka mengumumkan senarai 18 pemain ke Oman, Jumaat ini.

"Kami memerlukan dua penjaga gol untuk menghadapi kejohanan dan kami perlu melihat perkembangan kecederaan Kumar dan mungkin bakal membawanya ke Oman," kata Oltmans.