Penjaga gol Terengganu Hockey Team (THT), Hafizuddin Othman, bersedia menggalas tanggungjawab jika diberi peluang membarisi skuad kebangsaan selepas S. Kumar mengumumkan persaraan.

Selepas 20 tahun berkhidmat untuk negara, penjaga gol skuad hoki kebangsaan, Kumar, mengumumkan persaraan di kala umur mencecah 40 tahun.

Keputusan itu dibuat atas dasar ingin memberi ruang buat pemain muda menyinar sekaligus melakukan persediaan seawal ini untuk kelayakan Sukan Olimpik Paris 2024.

Meskipun mengakui Kumar kini berada dalam tahap terbaik antara penjaga gol negara, Hafizuddin bersedia jika diberi peluang untuk membarisi skuad kebangsaan.
"Saya berharap tersenarai dalam skuad kebangsaan tahun ini. Jika diberikan peluang, saya akan berusaha memberikan permainan yang terbaik," kata Hafizuddin ketika ditemubual wartawan Nadi Arena, Haliza Hamzah.

"Pengalaman adalah kunci utama penjaga gol untuk menampilkan aksi berkualiti."

Sementara itu, penyerang negara, Fitri Saari, menghormati keputusan persaraan Kumar dengan mengharapkan pemain baharu yang menggantikannya dapat menyesuaikan diri dalam masa yang singkat.

"Penjaga gol memerlukan pengalaman yang banyak untuk menghadapi persembahan di peringkat antarabangsa. Saya berharap pemain-pemain yang terpilih dapat menggunakan peluang dengan sebaik mungkin untuk menyesuaikan diri bersama skuad kebangsaan," kata Fitri.