Kejayaan merangkul gelaran juara edisi ke-56 hoki Piala Razak adalah sebagai hadiah sempena Hari Keputeraan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizuddin Shah, yang ke-62 serta pelantikan baginda sebagai pemangku Yang di-Pertuan Agong.

"Ini hadiah patik-patik kepada Tuanku sempena hari istimewa ini," kata Presiden Persatuan Hoki Perak (PHP), Datuk Azhar Ahmad.

Azhar berbangga dengan kejayaan Perak buat kali kedua berturut-turut itu kerana dicapai hasil kesungguhan pemain serta pegawai pasukan dan PHP.

"Tahniah kepada seisi pasukan yang telah berjuang sehingga ke wisel penamat.

"Ini kejayaan berganda buat Perak selepas pasukan bola sepak menjulang Piala Malaysia, " katanya.

Dalam perlawanan akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi, Perak yang ketinggalan dua kali bangkit untuk memadam kelebihan Terengganu sebelum mengatasi skuad Penyu itu 3-1 melalui penentuan pukulan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2.

Kemenangan ini juga sekali gus menghapuskan kekecewaan gagal meraih pingat emas Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-19 di Ipoh.

Dalam perkembangan lain, Azhar meminta Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) menaikkan nilai hadiah juara memandanglan Piala Razak adalah trofi berprestij.

"Takkan RM10, 000 sahaja. Tambahlah lagi supaya nilai kejohanan iuga meningkat," ujarnya.