Dua kemenangan berturut-turut ke atas Institut Sukan New South Wales meningkatkan keyakinan kapten hoki negara, Sukri Mutalib, untuk mencipta kejutan berdepan England dalam aksi pembukaan Kumpulan B, Sukan Komanwel Gold Coast 2018, Jumaat ini.

Selepas meraih kemenangan 4-2 dalam aksi pertama, penyerang kebangsaan, Faizal Saari, mencipta hatrik untuk membantu Malaysia menang 5-2 di Gold Coast Hockey Centre sementara dua lagi gol dijaringkan pemain tengah, Fitri Saari, dan pakar pukulan sudut penalti, Muhammad Razie Abd Rahim.

Kemenangan itu meningkatkan keyakinan skuad kendalian Stephen Van Huizen itu untuk mencabar lawan Kumpulan B yang turut dibarisi India, Pakistan dan Wales.

"Kemenangan dalam dua perlawanan ini menjadi motivasi buat pemain-pemain dan kombinasi kami tampak semakin baik. Apa yang penting, semua pemain menjadi lebih bersedia.

"Ia mampu menjadi pembakar semangat untuk menewaskan pasukan yang menduduki ranking lebih tinggi," kata Sukri.

Walaupun turun selaku bukan pilihan, namun Malaysia berpeluang mencipta kejutan menamatkan cabaran dalam kelompok dua pasukan terbaik Kumpulan B, sekali gus mencapai sasaran mara ke separuh akhir.

Kali terakhir Malaysia meraih pingat dalam Sukan Komanwel adalah ketika temasya 2002 di Manchester apabila mereka membawa pulang pingat gangsa.

TheMalaysian Hockey Tigers akan menamatkan aksi pemanas badan berdepan pasukan ranking pertama dunia, Australia, pada Selasa ini.