Ganson tangguh kemunculan bersama skuad hoki remaja

Oleh Shaiful Shamsudin 5 Oktober 2020 682
Ganson tangguh kemunculan bersama skuad hoki remaja
Hasrat pemain tengah, Ganson Noel Goden, menyertai sesi latihan pertama skuad remaja hoki negara di Bukit Jalil tidak kesampaian selepas pemain kelahiran Sabah itu tidak mendapat pelepasan meninggalkan negeri ekoran kes positif COVID-19 yang tinggi.

Ganson pemain suku kaum Murut, ditawarkan tempat dalam skuad remaja negara selepas mempamerkan aksi cemerlang ketika membantu Sabah meraih tangga keempat Piala Razak, minggu lalu.

Dia antara enam pemain baru dipanggil menyertai sesi latihan kendalian Wallace Tan namun pemain berusia 19 tahun itu tidak dapat lampu hijau meninggalkan Sabah ekoran peningkatan kes positif pandemik berkenaan dan belum mendapat tarikh sesuai untuk datang ke Bukit Jalil.

"Saya harap pandemik ini segera pulih agar saya dapat ke Kuala Lumpur bersama rakan-rakan sepasukan yang lain. 

"Bagaimanapun, saya tetap menjalani dua sesi latihan sehari di sini demi tidak ketinggalan dengan mereka," katanya. 

Seramai 24 pemain melaporkan diri pada sesi latihan pertama skuad remaja negara hari ini.

"Kami akan teruskan dengan pemain yang ada kerana saya akan mengadakan pemilihan pada hujung bulan ini," kata Wallace pula. 

Mereka bakal menghadapi Piala Remaja Asia di Dhaka, Bangladesh, Januari depan dengan tiga pasukan terbaik akan layak ke Piala Dunia Remaja 2021.

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen