Penyerang hoki negara, Firhan Ashaari dan Faizal Saari, akan digandingkan buat kali pertama dalam tempoh 14 bulan, sekali gus ancaman utama terhadap Pakistan dalam aksi pembukaan Trofi Juara-Juara Asia di Kuantan, petang ini.

Firhan dan Faizal pernah membentuk jentera serangan The Malaysian Hockey Tigers sebelum ini.

Bagaimanapun, gandingan itu tidak kekal lama apabila Faizal digantung daripada skuad kebangsaan, tahun lalu.

Selepas 14 bulan, mereka bergandingan semula untuk membentuk antara senjata utama Malaysia di Kuantan.

"Sepertimana yang semua tahu, saya dan Faizal boleh dikatakan agak serasi. Jadi, dalam kejohanan ini, saya harap kami akan bermain seperti biasa," katanya.

Sementara itu, Faizal mengharapkan gandingan bersama Firhan mampu mencetus kombinasi yang mantap sebaik kejohanan bermula.

"Dapat berganding dengan Firhan dan Shahril Saabah satu perkara yang baik.

"Saya harap kami muncul sebagai gandingan yang mantap dalam kejohanan ini."

Malaysia turut memiliki penyerang berkualiti seperti Haziq Shamsul, Nik Mohd Aiman Nik Rozemi dan Rashid Baharom.

Namun, tumpuan pasti terhadap gandingan Firhan-Faizal.