Perancang utama skuad hoki negara, Fitri Saari, memilih menghadiri majlis konvokesyen selepas melanjutkan pengajian hampir enam tahun di Universiti Malaya (UM), sekali gus terpaksa menarik diri daripada saingan Trofi Juara-Juara Asia (ACT) di Oman, bermula 18 Oktober ini.

Fitri melalui tempoh sukar sejak enam tahun lalu apabila melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Sains Sukan, berlatih dan bertindak sebagai ketua keluarga.

Perancang utama skuad negara itu memilih menghadiri majlis konvokesyen berkenaan yang menjadi bukti pengorbanannya selama ini.

Realitinya, Fitri jarang digugurkan kerana peranan penting bersama Muhammad Marhan Abd Jalil dan Nabil Fiqri Mohd Noor di jentera tengah skuad hoki negara.

"Saya memilih untuk menghadiri majlis konvokesyen ini. Saya percaya ramai lagi pemain yang boleh mengisi kekosongan yang ditinggalkan untuk kejohanan di Oman," ujarnya.

Selain Fitri, skuad negara juga berdepan krisis kecederaan.

Penjaga gol, S. Kumar dan Mohd Hafizuddin Othman, Muhammad Razie Abd Rahim (pertahanan) dan Mohd Haziq Shamsul (penyerang) masih cedera menjelang pengumuman skuad negara, hari ini.

"Saya telah memberitahu sukar untuk membuat persiapan dalam tempoh dua minggu. Tetapi kami cuba melakukan yang sebaik mungkin," kata ketua jurulatih negara, Roelant Oltmans.