Fitri Saari gagal penuhi kriteria Arul Selvaraj

Oleh Shaiful Shamsudin 14 April 2021 6922
 Fitri Saari gagal penuhi kriteria Arul Selvaraj
Ketua jurulatih hoki kebangsaan, Arul Selvaraj, mempertahankan tindakannya terus meminggirkan Fitri Saari dalam senarai 22 nama skuad kebangsaan yang diumumkan kelmarin biarpun baru sahaja  membantu pasukan Terengganu Hockey Team (THT) meraih Piala TNB tahun ini.

Skuad lelaki bakal beraksi dalam perlawanan persahabatan menentang Great Britain dan Jepun di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil selama seminggu bermula Sabtu ini. 

Aksi persahabatan itu boleh dijadikan kayu pengukur bagi menghadapi Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia dan Piala Asia, Oktober depan.

Baginya, keputusan dibuat adalah sepenuhnya berdasarkan prestasi atlet dalam kempen Liga Hoki Malaysia (LHM) selain aspek keperluan pasukan.

"Setiap jurulatih mempunyai kaedah tersendiri dalam pemilihan pemain. 

"Secara dasarnya saya sebagai seorang yang bekerja keras, saya menyedari kebanyakkan atlet di Malaysia hanya bergantung kepada bakat semata-mata, sebab itu di persada antarabangsa kami bergelut.  

"Saya menilai pemain daripada segi kebaikan dan kelemahannya. 

"Di bawah kendalian saya, pemain malas dianggap tidak berbakat, kerja keras adalah bakat sebenar, " katanya. 


 

Kita Juara !!! #TogetherTHT #TogetherTerengganu #TerengganuHokeyTeam

Posted by Terengganu Hockey Team on Saturday, April 3, 2021



Tambahnya: "Dia tidak memenangi apa-apa gelaran lagi, jadi dari sudut mana kita boleh mengatakan dia sangat bagus. 

"Kalau bagus sangat dia mungkin sudah memenangi Sukan Asia, dia gagal menyempurnakan stroke ke atas Kanada. 

"Untuk pengetahuan semua, sebelum liga bermula saya telah berkomunikasi dengannya dengan menyalurkan rakaman dan maklumat secara kerap. 

"Mesej saya jelas, dia perlu bekerja keras dan kalau kehilangan bola rebutnya semula. 

"Dia perlu menunjukkan karakter yang tinggi tapi maaf, mungkin orang lain nampak tapi tidak bagi saya setakat ini."

Fitri meluahkan rasa kecewa apabila namanya tidak tersenarai dalam barisan kendalian Arul itu lalu menyimpan hajat untuk berkelana ke luar negara demi mengekalkan prestasi.

"Saya telah beraksi baik dalam liga, kalau dibuat undian sekalipun pastinya rakyat Malaysia mahu saya berada dalam pasukan. 

"Keputusan di tangannya, dia cakap boleh baca isyarat badan saya tapi pastinya (penampilan saya) di luar dan di atas padang adalah berbeza," katanya pula. 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen