Perancang utama skuad hoki negara, Fitri Saari, bakal mengikut jejak abangnya, Faizal, untuk beraksi dalam Liga Oman apabila menerima tiga tawaran, namun dia perlu mendapatkan kelulusan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), terlebih dahulu.

Jika hasratnya menjadi kenyataan, maka Fitri bakal menjadi pemain keempat Malaysia yang beraksi di Oman.

Dia ditawarkan menyarung jersi Sohar Hockey Club, kelab yang bakal diwakili Faizal, Hafiz Zainol dan Kavin Kartik.

Ketiga-tiga pemain itu sudah berlepas ke Oman dan ia secara tidak langsung menjadi cabaran buat Fitri untuk mendapatkan kelulusan KHM.

"Saya memilih kelab Sohar kerana turut diwakili oleh Faizal.

"Kalau mendapat pelepasan daripada KHM, saya mungkin akan berlepas ke sana pada 29 November ini.

"Kalau semuanya berjalan lancar, saya akan memberikan aksi terbaik untuk Sohar sambil dibantu oleh abang saya serta beberapa pemain Malaysia yang lain," katanya yang bertekad untuk memastikan Sohar bergelar juara buat pertama kalinya.

KHM menetapkan syarat mana-mana pemain tempatan yang mahu beraksi di luar negara perlu mendapatkan sijil tiada bantahan kerana ia bergantung kepada jadual skuad kebangsaan.

Liga Oman akan berakhir pada 20 Disember depan manakala skuad kebangsaan pula akan memulakan kem latihan pusat pada Isnin depan.