Fitri korban masa bersama anak demi Malaysia

Oleh Penulis Jemputan 17 Oktober 2017 851
Fitri korban masa bersama anak demi Malaysia
Pemain tengah hoki negara, Fitri Saari, sanggup mengambil risiko meninggalkan anak yang masih dirawat untuk berlepas ke Dhaka, Bangladesh bagi membantu The Malaysian Hockey Tigers menghadapi Pakistan dalam aksi 'Super 4' Piala Asia, esok.

Muhammad Adam Zafran, anak kepada Fitri, masih lagi menjalani rawatan di Hospital Serdang, namun Fitri tidak sanggup meninggalkan rakan sepasukan berjuang di Dhaka.

Perancang utama skuad negara itu mengambil keputusan berlepas semula ke Dhaka menjelang aksi sulung Super 4 berdepan Pakistan.

Ia merupakan satu keputusan berisiko tinggi, namun inilah pengorbanan Fitri untuk Malaysia.

"Saya mahukan kepuasan diri saya sebab kita tidak pernah lagi menjadi juara Piala Asia. Untuk beraksi dalam kejohanan itu pun empat tahun sekali.

"Jadi, saya mempunyai harapan tinggi untuk menjadi juara. Kalau jadi juara pun, ini untuk anak saya, Adam," kata Fitri.

Malaysia melangkah ke Super 4 dengan reputasi juara Kumpulan B apabila menewaskan China, Korea Selatan dan Oman dalam Kumpulan B.

Aksi Super 4 turut membabitkan Korea Selatan dan India dengan dua pasukan terbaik akan berentap dalam final.

Berdasarkan aksi peringkat kumpulan, Malaysia memiliki peluang cerah untuk mencipta sejarah mara ke final buat kali pertama, sekali gus mengatasi pencapaian terbaik mereka pada 2007 di Chennai, India.

"Terima kasih kepada ahli keluarga dan peminat hoki yang mendoakan untuk anak saya agar kembali pulih. Saya harap apabila saya pergi ke sana, dia semakin stabil. Itu harapan saya."

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen