Kapten Pasukan Hoki Terengganu (THT), Mohammad Fitri Saari, berhasrat membalas dendam di atas kekalahan kepada Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) dalam aksi Piala Sumbangsih di Stadium Hoki Batu Buruk, petang ini.

Fitri yakin THT telah mengenal pasti kelemahan yang menyebabkan pasukannya tunduk ketika aksi final Piala Tan Sri P. Alagendra, Ahad lalu, serta menggesa rakan-sepasukannya lebih fokus menghadapi pihak lawan.

“Kami mahu membalas dendam. Tidak boleh kalah dua kali berturut-turut dan THT perlu memenangi perlawanan ini walau apa cara sekalipun.

“Permainan sedikit kelam-kabut dalam aksi terdahulu. Jadi, kami tidak boleh mengulangi kelekaan, terutama selepas mendahului,” katanya.

Perlawanan petang ini turut dijadikan sasaran peribadi buat penjaga gol, Muhammad Hafizuddin Othman, yang memburu kejuaraan Piala Sumbangsih pertama bagi dirinya.

Hafizuddin secara terbuka mengakui mahu menjulang trofi yang belum pernah dimenanginya itu selepas empat musim mewakili negeri kelahirannya.

“Barisan kejurulatihan sudah membuat analisis aksi terdahulu dan semua pemain tahu apa yang harus diperbaiki.

“THT akan turun dengan lebih bersedia dan kami akan memberi 100 peratus komitmen,” ujar Hafizuddin yang ditemui dalam Majlis Memperkenalkan Pemain Pasukan Hoki Terengganu (THT) dan Pasukan Hoki Wanita Terengganu (TLHT) bersama Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman, malam tadi.