Kapten skuad hoki Terengganu, Fitri Saari, berdepan tugas berat untuk mempertahankan Piala Razak 2017 apabila pasukan gergasi Pantai Timur itu dibarisi ramai pemain berusia bawah 16 tahun menjelang aksi sulung menentang Pulau Pinang di Ipoh, Perak, esok.

Kebanyakan pemain Terengganu tidak mendapat pelepasan beraksi di Stadium Sultan Azlan Shah kerana terikat dengan peperiksaan, membuatkan pihak pengurusan tidak mempunyai pilihan kecuali membawa 13 pemain berusia bawah 16 tahun.

Terengganu memiliki beberapa pemain kebangsaan seperti Faizal Saari, Mohd Firhan Ashaari, Nik Mohd Aiman Nik Rozemi dan penjaga gol, Mohd Hafizuddin Othman, namun misi untuk mempertahankan trofi itu tampak sukar tanpa kelibat mereka.

"Memang itu sasaran Terengganu untuk mempertahankan trofi kejuaraan tetapi memandangkan kami memiliki ramai pemain muda, pemain-pemain senior perlu bersedia memberikan tunjuk ajar kepada mereka," kata Fitri.

"Saya rasa pasukan yang mencabar kami adalah Perak dan Selangor kerana Perak membariskan ramai pemain muda dan senior daripada skuad kebangsaan," tambah pertahanan Terengganu, Syarman Mat Tee.

Terengganu yang dikendalikan oleh Sarjit Singh telah diundi dalam Kumpulan A bersama Melaka, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

Musim lalu, mereka mencipta kejutan apabila menumbangkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di peringkat akhir dalam perlawanan yang berlangsung di Bukit Jalil.

"Pendidikan adalah sesuatu yang penting dan kami tidak mahu mengganggu pemain-pemain apabila menghadapi peperiksaan.

"Kami harus akui waktu berlangsungnya peperiksaan pada kali ini sedikit menjejaskan persiapan pasukan tetapi ia peluang untuk pemain berusia 16 hingga 19 tahun untuk tampil beraksi," ujar Sarjit.