Kegagalan meraih tiket automatik ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 bagaikan tamparan hebat buat skuad hoki negara.

Selepas mencipta gemilang dengan menyingkirkan pasukan pilihan, India, dalam separuh akhir Sukan Asia 2018, impian Malaysia untuk mengesahkan tempat lebih awal ke temasya Tokyo 2020 tidak kesampaian apabila terperangkap dengan kebangkitan Jepun tatkala peluang terbentang luas.

Jepun menghampakan Malaysia apabila mengikat kedudukan pada penghujung perlawanan sebelum tuan rumah Sukan Olimpik itu muncul juara menerusi penentuan pukulan penalti.

Mohammad Fitri Saari, 25, yang baru sahaja menerima Ijazah Sarjana Muda Sains Pengurusan Sukan sempena Istiadat Konvokesyen Universiti Malaya (UM) 2018 baru-baru ini, membuka mulut mengenai kekecewaan tersebut.

"Ramai yang tidak menyangka kami mampu mengalahkan India yang berada di kedudukan kelima dunia.

"Apabila kalah kepada Jepun dalam final, semua pemain tidak dapat melelapkan mata pada malam hari dan menangis.

"Sesetengah pemain bagaikan tidak boleh menerima takdir kerana kami mendahului selesa 6-2 menuju kira-kira lapan minit perlawanan berakhir.

"Sampai sekarang pun saya tidak boleh menerima hakikat itu, ia kenangan pahit bagi saya," kata pemain tengah itu.

Kekecewaan itu terus berlarutan sehingga mendorong beberapa pemain serta jurulatih, Stephen Van Huizen, mengambil keputusan untuk berehat seketika daripada terbabit dalam kempen Kejohanan Hoki Terbuka Antarabangsa Darwin, bulan lalu.

"Dua minggu selepas Sukan Asia, kekecewaan itu masih memberi kesan kepada pemain.

"Kami tidak bersemangat untuk menjalani latihan dan seperti menjauhkan diri dengan perkembangan hoki.

"Kami perlu perlahan-lahan melupakan kepahitan itu. Lagipun kempen Piala Dunia di India semakin dekat (hujung bulan depan).

"Kami tidak boleh menunggu sehingga hujung tahun ini untuk bangkit kerana fokus kami akan beralih pula kepada kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020, April nanti," katanya lagi yang menjalankan perniagaan sate ikan dan sosej bersama keluarganya bagi menjana pendapatan keluarga.