Di kala pandemik Covid-19 ketika ini, masalah kewangan menjadi isu utama memandangkan ada individu yang terpaksa menghadapi pemotongan gaji dan lebih malang, ada yang dibuang kerja.

Di sebalik kesukaran itu, bekas penyerang skuad hoki negara, Fitri Saari, akhirnya boleh menarik nafas lega apabila dapat memulakan kerjaya barunya di Majlis Sukan Negara (MSN).

Sebelum ini, Nadi Arena melaporkan Fitri terpaksa membantu ibunya menjalankan perniagaan menjual sate ikan sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) memandangkan proses temuduganya di MSN terganggu kerana pandemik berkenaan.

Bagaimanapun, dia kini sudah memulakan kerjaya barunya di bawah unit Program Pembangunan Bolasepak Kebangsaan (NFDP).

"Saya amat teruja kerana dapat kerja di MSN dan ini adalah kerjaya baru buat saya memandangkan sebelum ini saya hanya bermain hoki," katanya kepada Nadi Arena.

"Jadi, saya amat gembira untuk bekerja di sini.

"Saya bersyukur sangat kerana ada rakan-rakan saya yang dibuang kerja dan saya amat bersimpati dengan nasib mereka."

Selepas sembilan tahun berkhidmat untuk negara, Fitri digugurkan daripada skuad hoki kebangsaan pada Februari lalu.

Pemenang pingat perak Sukan Asia 2018 itu mengakui berasa kekok dengan keadaan terbarunya itu dan perlu menyesuaikan diri dengan dunia pembangunan sukan bola sepak.

"Sebelum ini, kerja saya hanyalah memegang kayu hoki di padang, jadi saya perlu menyesuaikan diri secepat mungkin.

"Saya berasa agak janggal sedikit dan mengambil masa untuk menyesuaikan diri di tempat baru," tambahnya.