Kapten hoki negara, Sukri Mutalib, meminta Firhan Ashaari agar mengubah sikap atau dia akan menyukarkan misi memburu gelaran juara Trofi Juara-Juara Asia.

Penyerang itu digantung perlawanan ketika Malaysia terikat 1-1 menentang Korea Selatan malam tadi, sekaligus menamatkan cabaran di tangga kedua liga.

Firhan perlu mengubah sikap atau dia akan menambah beban rakan sepasukan.

Ketiadaannya menyaksikan jentera serangan negara bergelut menentang Korea Selatan pada aksi terakhir liga di Stadium Hoki Wisma Belia.

Pakar pukulan sudut penalti, Muhammad Razie Abd Rahim, muncul penyelamat apabila meledak gol penyamaan pada hujung permainan untuk Malaysia menamatkan cabaran di tangga kedua liga, sekaligus berdepan Pakistan dalam separuh akhir, Sabtu ini.

Sukri mahu Firhan lebih bijak mengendalikan dirinya apabila tercetusnya provokasi dari pihak lawan.

"Saya enggan perkara sebegini berlaku. Pada saya, mentaliti pemain perlu kuat di atas padang.

"Memang akan ada pihak lawan yang akan cuba melakukan provokasi tetapi kita perlu bertindak dengan bijak," jelasnya.

Firhan digantung satu perlawanan kerana sengaja mengasari penyerang India, Akashdeep Singh, Rabu lalu.

Penyerang Terengganu Hockey Team (THT) ini sudah meledak tiga gol dan dijangka memainkan tugas utama Sabtu ini.

"Hukuman ini setimpal dengan apa yang berlaku. Saya tidak boleh berbuat apa-apa," jelasnya.

Sementara itu, penyerang hoki negara, Faizal Saari, berharap insiden tersebut tidak mengganggu fokus Firhan menjelang aksi berdepan Pakistan pada Sabtu.

"Saya harap perkara seperti ini tidak berlaku lagi dan untuk Firhan, saya harap dia mengekalkan fokus bagi berdepan Pakistan," katanya.